Monday, 26 September 2011

MUstahilkah untuk kita berubah......

Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.
Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).
Tiba-tiba terfikir satu persoalan.
Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?
Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?
"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37
"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62
Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perbuahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.
Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:
"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"
"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.
Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.
Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2
Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?
Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.
Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.
Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.
- Artikel iluvislam.com

Berbakti kepada ibu bapa......

Seorang anak kebiasaan akan lebih menghargai ibu bapanya setelah dia memiliki cahaya mata yang pertama. Betapa rumitnya membesarkan bayi yang baru dilahirkan hinggalah usia meningkat dari tahun ke tahun dipenuhi dengan pelbagai cabaran.
Saat itulah, baru menceritakan semula penat lelah ibu dan bapa yang membesarkannya suatu ketika dahulu. Selain, kepayahan ketika mengandung hinggalah tiba waktu melahirkan.
Pengorbanan ibu bapa sebenarnya telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman ayat: 14)
Maka, soal kebaktian seorang anak terhadap ibu bapanya perlu diutamakan dan diletakkan sebagai tugas yang penting untuk dilaksanakan. Menjelang hari tua, ibu dan bapa kita akan lebih mendalam kerinduan terhadap anak yang pernah dibesarkannya.
Tahap sensitifnya akan cepat terasa sekiranya anak yang dijaga bersikap kurang menyenangkan, atau melakukan perbuatan yang mengguriskan hati. Kita sebagai anak harus sedar akan kewajipan mentaati dan membahagiakan hati kedua ibu bapa. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah al-Isra' ayat: 23)
Maksud "berbuat baik kepada kedua ibu bapa" sebagai mana yang disebutkan dalam ayat suci al-Quran selain dari menjaga tingkah laku, perkataan dan perbuatan dari sebarang kekasaran yang boleh melukai hati keduanya, kita dituntut untuk menjaga ibu bapa setelah mereka berada di usia yang tua.
Menjelang saat-saat hari tua adalah penantian kehidupan yang menggusarkan fikiran. Pasti semua ibu bapa akan kerisauan mengingatkan tentang kehidupan hari tua kelak. Dalam Islam, anak lelaki yang paling berkewajipan menjaga ibu bapanya berbanding dengan anak perempuan. Seorang ibu boleh membesarkan anaknya yang ramai, sebaliknya anak-anak yang ramai belum pasti dapat memelihara kedua ibu bapanya.
Maka, antara jalan untuk tergolong sebagai orang-orang yang beriman ialah keutamaan melihat ibu bapa sebagai tanggungjawab yang besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan berbakti kepada ibu bapa boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)." (Riawayat Muslim)
Menyentuh tentang jasa ibu bapa terhadap anaknya terlalu banyak. Sudah pasti, para ibu dan bapa akan menitiskan air mata jikalau ditanya tentang pengorbanan untuk membesarkan anak apatah lagi bagi golongan yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan dengan seratus peratus menggunakan kudrat sendiri untuk membela dan membesarkan anak-anaknya.
Ada sedikit perbezaan berbanding para ibu hari ini yang banyak bergantung kepada pembantu rumah serta penggunaan alat teknologi yang membantu meringankan beban atau tugas seorang ibu.
Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sebaik selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku? Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.
Justeru, berbuat baik serta melayan kedua ibu bapa dengan nilai budi bahasa yang sopan adalah amalan yang terpenting untuk disemat di hati.
Sebagai seorang anak kewajipan mendoakan ibu bapanya  perlu diamalkan setiap hari. Apatah lagi sekiranya  kedua telah meninggal dunia. Doa anak yang soleh akan terus-menerus sampai kepada ibu bapanya yang berada di alam kubur. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : 'Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra' ayat : 24)
Pengorbanan ibu dan bapa yang tidak terkira nilainya dan amat tidak wajar dipandang remeh atau ringan oleh anak-anak. Apabila keduanya menghampiri daerah usia yang lanjut, bermusyarawarahlah sesama adik-beradik untuk saling berbakti selagi usia ibu bapa kita belum terhenti.
Para isteri perlu menyedari hakikat kewajipan suami terhadap orang tuanya dengan merelakan suami menunaikan tugasnya terhadap kedua ibu bapanya dengan sempurna sekalipun memerlukan masa, wang dan pengorbanan lain. Menghalang suami dari berbakti kepada kedua ibu bapanya di hari tua adalah satu pilihan yang kejam.
Mengambil hak seorang ibunya yang benar-benar mengharapkan adanya anak yang akan mengingati jasa dan pengorbanan silam dengan menjaganya saat-saat tidak berkeupayaan adalah satu sifat yang tidak berperikemanusiaan. Alangkah baiknya sekiranya masih ada isteri akan mengingatkan suami akan kewajipan menjaga orang tuanya.
Kita perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku pada Alqamah, seorang pemuda yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Dia tidak dapat mengucap kalimah syahadah lantaran sikapnya yang mengutamakan isteri daripada ibunya. Sedangkan Alqamah merupakan seorang yang taat kepada perintah Allah, rajin menunaikan solat, suka bersedekah dan sering berpuasa.
Lantas, Rasululllah SAW memanggil ibunya bagi mendapatkan keampunan, sebaliknya ibunya menolak kerana masih berkecil hati dengan sikap Alqamah yang mengutamakan isterinya.   Akhirnya Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah hidup-hidup di hadapan ibunya jika ibunya tidak memaafkannya.
Akhirnya tindakan Rasulullah SAW itu menyebabkan ibunya segera memaafkannya dan seterusnya Alqamah dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah.
Sebaik sahaja Alqamah dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di kuburnya lalu bersabda bermaksud: "Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya."(Hadis riwayat Abu al-Laith)
Para isteri perlu lebih memahami hak-hak ibu ke atas anaknya yang diberi keutamaan dalam Islam. Lantaran, anak-anak kita juga akan bertindak dengan apa yang pernah kita perlakukan terhadap ibu bapa  kerana kesaksamaan Allah yang maha adil. Justeru, isteri harus bersikap reda dengan ruang-ruang yang perlu dipenuhi oleh suami terhadap ibu bapanya.
Kehadiran anak adalah sesuatu yang berharga di hari tua. Nabi Ibrahim meluahkan kesyukuran kepada Allah kerana diberi anak yang bakal menemani di hari tua sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:
Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.  (Surah Ibrahim, ayat 39)

MALAS......adui malasnya....

Kemalasan dilihat sebagai satu fenomena yang sering terjadi pada manusia. Haiwan? Tumbuhan-tumbuhan? Tidak pernah pula makhluk Allah ini kita lihat kejadian malas berlaku pada mereka. Mengapa kita? Kerana kita punya nafsu. Tetapi Allah itu Maha Pengasih, Dia tidak berlaku zalim pada hamba-hamba-Nya. Oleh itu Dia telah menciptakan nafsu seiring dengan adanya akal. Akal yang boleh memimpin nafsu.
Dengan adanya akal, ia diperintah untuk mencari ilmu yang Allah S.W.T telah turunkan ke bumi. Akal yang mencari ilmu yang baik lantaran akan membawa ketundukan kepada nafsu dan akan menyinarkan ketenangan buat jiwa. Sebaliknya pula bagi akal yang telah terpalit noda sewaktu mencari ilmu ia akan gagal memberikan keharmonian buat jiwa malah nafsu pula yang memegang tampuk pemerintahan bagi diri. Jadilah diri yang telah diselebungi sifat malas di dalamnya.
Di sini ada beberapa ilmu tentang malas yang telah saya dapati.
Malas boleh kita hindari ketika ia datang menyerang kemahuan dan semangat kita, di bawah ini ada beberapa tips antaranya:
1. Membasuh muka atau mandi ketika rasa mengantuk menyerang.
2. Mengubah posisi duduk ketika membaca. Misalnya dari duduk berubah menjadi berdiri, namun disarankan jangan dari duduk terus berbaring kerana ia boleh membawa kepada tidur.
3. Berpindah dari ruang baca ke ruang yang lain. Kalau kita berada di dalam bilik, berpindah dari bilik kita ke beranda, ruang tamu atau boleh juga ke dapur.
4. Menghirup udara yang segar dengan cara berdiri di tepi tingkap atau membuka tingkap yang terdapat di bilik lain untuk menambah kesegaran. Kita boleh juga memberikan bau aroma terapi kepada ruang tempat kita berada, misalnya dengan menyembur ruangan dengan wangi-wangian dan jika ada kipas angin, kita boleh menyembur pada kipas untuk menyebarkan wangi-wangian tersebut ke segala ruang. Ini kerana mungkin tidak semua ruang tempat kita berada mempuyai tingkap untuk pengudaraan.
5. Berjalan-jalan sebentar di sekeliling rumah. Boleh diganti dengan kegiatan yang lain misalnya merapikan rak yang berselerak, atau kegiatan yang lain yang boleh menggerakkan otot-otot kita.
6. Berbincang-bincang sebentar dengan keluarga atau kawan-kawan namun mengenai hal yang baik bukan hal yang buruk. Hati-hati jangan sampai lupa tujuan utama dalam berbincang-bincang iaitu untuk menumbuhkan semangat, bukan untuk berbicara hal-hal yang melalaikan bahkan juga mengumpat!
7. Berdiri membuat secangkir kopi, teh, susu atau juice untuk menghilangkan kebosanan dan menjernihkan akal.
8. Mengubah kegiatan kebiasaan kita. Contohnya jika bosan menghafal surat, boleh gantikan dengan membaca, jika membaca pula bosan boleh diganti dengan mendengarkan CD.
"Bersegeralah kamu melakukan kebaikan." (Al-Baqarah: 148)
"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain." (Alam Nasyrah : 7)
- Artikel iluvislam.com

Program Kecemerlangan Akademik

Pada 19 September 2011, telah berlangsungnya penyampaian hadiah bagi pelajar-pelajar cemerlang Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT) sesi petang. Seramai 156 orang pelajar telah menerima hadiah berupa buku, fail, kertas kajang.
Selamat Maju Jaya untuk Peperiksaan Akhir Tahun yang akan datang- dari Unit Bimbingan dan Kaunseling.

Monday, 5 September 2011

SEJARAH SEKOLAH

  • Pada mulanya sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris Slim River ( SMJK - Inggeris ) Slim River. Penubuhan sekolah ini untuk mengatasi masalah persekolahan pelajar - pelajar di Slim River yang terpaksa bersekolah di SMK Methodist Tg Malim , SMJK (I ) di Tapah.
1962 - Bermula dengan dua kelas Tingkatan 1  ( Aliran Inggeris ) yang ditempatkan di SJK(T) Slim River dan SK Slim River.
1963 - 2 Kelas Tingkatan 2 ditempatkan di SK Slim River.
1965 - Semua kelas yang menumpang di sekolah rendah di tempatkan di bangunan yang ada sekarang .Bermulalah persekolahan dengan bangunan sendiri. Guru Besar ketika itu ialah Mr Wazir Singh yang juga sebagai Guru Besar SK Slim River. Pada tahun ini juga dibina dua buah rumah guru yang terletak di Blok F yang ada sekarang.
1966 - Sekolah ini telah dibuka oleh secara rasmi oleh DYMM Paduka Sri Sultan Perak , Sultan Idris Shah ll pada 28 Julai 1965. Pada masa ini terdapat kelas Tingkatan Peralihan hingga ke Tingkatan 5 . Pengetua ialah Mr Mahinder Singh dan Penolong Kanan ialah En Abd Talib bin Othman .Guru yang masih ku ingat ialah Mr Thomas Mathews, Mrs Gracy Mathews, Pn Khoh Ngan Chia, En Khon Ngan Chia, En Dzulkifli Ismail, En Zainal Abidin Sarji, En Pandian, Mrs Pandian, En Yaakob Abd Rahman, En Amran bin Din, Pn Mariah Mahmud, En Abd Kahar bin Saidin, En Musa bin Mahyuddin, En Tarmizi, Pn Ramlah bt Yahya, dll yang akan dicatat kemudian.
1967 - Kelas Tingkatan  4  ( English Medium ) diwujudkan. Sebelum ini mereka bersekolah di Tapah, Tg Malim, Ipoh dan Teluk Intan ( dulu dikenali sebagai Teluk Anson )
1968 - Bangunan Tambahan mengandungi 9 bilik darjah , dua makmal sains dan 2 bilik Ekonomi Rumah Tangga dibina.
1969 - Kumpulan Pertama Tingkatan 5  ( aliran Melayu ) mengambil Peperiksaan SPM .
1973- Rumah Pengetua dibina - tetapi telah dirobohkan pada tahun 2007 untuk membina Makmal Komputer yang ada sekarang.Juga dibina surau bernilai RM 20, 000 sumbangan YB Dato RN Idris AlHaj ( ADUN Slim )  yang diperbuat daripada kayu yang terdapat di tapak surau yang ada sekarang .
1974 - Bangunan Baru Blok A dan Blok E  dibina . 3 makmal Sains Tulen diwujudkan .
1980 - Blok D terbakar
1981 - Bilik Kebal untuk menyimpan soalan peperiksaan daerah Slim River dibina
1982- Blok F dibina
1985 - Asrama Puteri ( Aspuri ) telah diwujudkan di Bangunan Rumah Pengetua SMJK(I) Slim River. Pelajarnya teridiri daripada pelajar Tingkatan 6 daripada Felda Beout.Asrma Putera pula ialh menyewa Bangunan Rumah Kedai di Hadapan SMJK(I) Slim River. Pada tahun 1994 semua pelajar ASPURA telah dipindahkan ke SM Vokasional Slim River ( kini SM Teknik Slim River ) . Pada tahun 1995 ASPURI dan ASPURA ditutup kerana pelajarnya di tempatkan di Asrama Pusat SMK Slim.
1986 - Membina Gelanggang Serbaguna : Bola Tampar, Bola Keranjang dan Sepak Takraw . Juga dibina tempat meletak basikal di depan padang dan letak tempat letak kereta guru .
1991 - SMJK (I) telah ditukarkan namanya kepada SMK Dato Zulkifli Muhammad , Slim River.
2005 -  Pada 16 Disember 2005 Hj Mohd Rosli bin Hj Abd Rahman  Pengetua SMK Bidor bertukar menjadi Pengetua SMKDZMSR .
2009 -
  • Makmal Komputer 2 Tingkat ( Fasa 3 ) siap dibina
  • Memperkenal 6 Rumah Sukan - membolehkan lebih ramai murid mengambil bahagian . 2 Rumah Sukan tersebut ialah Rumah Cenderawasih dan Rumah Enggang

Senarai Pengetua
Mr Wazir Singh                                         1965 - 1966
Mr Thong Seong Seng                              1967 - 1967
Mr Mahinder Singh                                    1968 - 1979
En Mohd Azhari bin Arbi                              1.1.80 - 31. 12.1985
Tn Hj Ahmad bin Hj Shafii                            1.2.1985 - 1.3.1985
En Che Pa bin Hj Hashim ( Penolong Kanan - memangku Pengetua ) 16.3.1985 - 31.3.1986
En Supian bin Hj Ismail                                1.4.1986 - 30.4.1986
En Che Pa bin Hj Hashim ( Penolong Kanan - memangku Pengetua ) 21.4.1986 - 16.12.1986
En Mohd Nadzari bin Abd Aziz                        1.2.1987 - 1.2.1988
Tn Hj Abdullah bin Nordin                              1.2.1988 - 31.12.1988
Tn Hj Yahya bin Hj Salim                               1.1.1989 - 16.4.1992
En Shaharuddin bin Attan                             16.4.1992 - 1.5.1994
Tn Hj Abd Rahman bin Hj Harun ( Penolong Kanan - memangku Pengetua ) 1.5.1994 - 31.1.1995
Tn Hj Abdullah Sani bin Soho                             1.5.1995 -
En Esmail bin Salleh
Pn Noraini bt Yeob Sidi                                                     - 15.12.12005
Tn Mohd Rosli bin Hj Abd Rahman                   16.12.2005 - 13.2.2011